“@ Harakah: MAMPUKAH MP Sri Gading LAWAN Akta Bendung Gejala LOMPAT PARTI???!”

29 04 2008

H Fansuri

Mon | Apr 28, 08 | 10:48:02 am MYT

Burhan seorang penganggur. Dia bekerja sambil-sambilan dan mencari duit dengan cara menulis di akhbar-akhbar. Dia akan menatap akhbar, mengutip pandangan menteri lalu mencatat wahyu dan sabda orang kenamaan dewa-dewa untuk dijadikan bahan penulisannya.

Namun, akhir-akhir ini, Burhan kerap-kali panasaran dan didatangi suatu wabak penyakit perasaan yang kerap membisikkan bahawa, rakyat Malaysia tidak perlukan rancangan hiburan dan lawak santai untuk menghiburkan mereka. Kekalahan Umno-BN, demam pilihan raya yang masih belum habis kebah itu rupanya adalah modal baru sebagai santapan hiburan untuk rakyat.

Dia melihat kaki langit yang terkangkang luas antara ufuk Timur, Barat yang meneran sinar matahari hangat, bahang memijar seperti wanita terkangkang kerana meneran bayinya yang akan lahir. Sinar mentari pun tumpah melimpah ke bumi dan kalau-kalau antara bilah cahaya berserakan itu dapat digenggam seberkas dua, Burhan rasa doanya terkabul.

berSUMBANGlah untuk kelangsungan laman blog ini. TERIMA KASIH.🙂

Bebilah gumpalan bercahaya itu bagaikan gugusan kepulan doa yang memancarkan sinar harapan baru untuk rakyat Malaysia. Tapi, adakah bangsa Umno itu bersedia berubah?

“Ya Tuhan, berilah petunjuk kepada Abdullah, Umno dan pimpinan mereka supaya sedar kerana rakyat sedang berusaha mengirim pengajaran,” demikianlah doa Burhan setiap hari. Tapi, yang dilhatnya, Abdullah itu semakin keras kepala dan masih tidak mahu berubah.

Dalam mata rohaninya, Burhan lihat sekujur batang tubuh lembaga raksasa dan gergasi Umno yang terlentang keletihan, rebah ditabrak ribut pilihan raya dan lembaga ini belum menunjukkan tanda-tanda yang mereka mahu kebah daripada derita penyakit rohani, ketakburan yang mereka anuti sebelum ini.

Lembaga itu kerap meracau dan dalam igauan mereka itu kerap pula kedengaran laungan dan jeritan, “He! Jangan lompat parti! Siapa lompat parti, ertinya dia pengkhianat agama, bangsa dan tanahair!” Racauan seterusnya, “Bersatulah bangsaku aduhai Melayu tercinta!”

Lembaga kedua yang muncul menyahut racauan igauan itu bernama BBPM atau kepanjangan badan itu adalah Barisan Bertindak Perpaduan Melayu.

Banyak lagi kalimat racauan dan igauan yang menerjah serta memukul gegendang cuping telinga. Umno panik diserang histeria dan Abdullah masih takbur juga, mahu tubuhkan suruhanjaya itu dan ini bagi tujuan memulihkan imej dirinya yang berbalut dosa.

Tapi, untuk minta maaf jauh sekali. Orang-orang seperti mereka ini berharap dengan solat mereka, tahajud, tawaf di kaabah, zikir dan wirid bersempena majlis haul di Masjid Putrajaya akan dapat membasuh dan menyucikan dosa-dosa memenjarakan tahanan ISA sebelum ini.

Jika begitu pandangan Abdullah dan Najib. Mereka sebenarnya tersilap, kerana Allah s.w.t tidak pernah melakukan ‘bias’ dalam menjatuhkan hukuman. Abdullah dan Najib tetaplah berdosa dan zalim ketika menghukum tahanan ISA walaupun mereka bersolat seribu tahun lamanya dan bertawaf keliling seribu kali pusingannya.

Pahala tetaplah pahala. Tetapi, zalim tetaplah zalim! Hakikatnya, pahala tak pernah membasuh luka di hati rakyat yang dijarakkan daripada keluarga dan mereka itu pula tidak pernah diadili dalam mahkamah!

Kepada tahanan ISA ini, jangan haraplah eksekutif akan meminta maaf kepada mereka sedangkan baru-baru ini, ketika digesa eksekutif memohon maaf kepada judikatif pun mereka enggan. Angkuh benar Abdullah dan Umno! Demikian hati Burhan memberontak.

Rakyat bawahan seperti Burhan selalu sedih melihat suasana ini. Tapi, seperti Umno yang punya kaedah tersendiri, maka Burhan juga ada kaedah rawatan tersendiri untuk merawat kepedihan dan kepiluan hatinya.

Seperti yang tercatit pada awal-awal penulisan tadi, Burhan, rakyat Malaysia serta sekitar 3.2 juta ahli Umno seluruh negara (jika mereka ikhlas berjuang) tidak perlu kepada lawak santai pun untuk menggembirakan hati mereka.

Umno bagaikan badut sarkas?

Memadai rakyat Malaysia menonton forum televisyen yang memuatkan kenyataan si anu, si ana dan si ani. Atau, tonton ucapan menteri itu, Menteri Perdana atau Timbalan Perdana Menteri. Kenyataan mereka ini seperti gerombolan pelawak dan badut sarkas.

Sehingga kini, teka-teki mengenai dialog S Shamsudin di dalam Pendekar Bujang Lapok itu masih kekal sebagai sebuah misteri, samada ia disengajakan atau kebetulan yang dirancang?

“Alif, Mim, Nun, Wau (Umno) … alif tendang wau … sarkas?!”

Kalau dahulu, Burhan mesti menonton acara Geletek di TV9, siaran ulangan Kaber Hero Kaber Zero, Bang Bang Boom dan lain-lainnya untuk menghiburkan hati. Tapi, sekarang ini memadai dengan menonton acara ‘talk’ ilmiah yang dilawakkan oleh ahli panelnya dalam forum-forum tertentu.

Misalnya, pada 22 April lalu acara Hujah (TV9) membawa tajuk ��˜Lompat Parti’. Burhan tidak begitu ingat akan keseluruhan intipati hujah, perbualan antara MP Seri Gading dan penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussein, tapi banyak hujah dilontarkan menyebabkan dia ketawa memanjang, khasnya saat Burhan mendulang dan menimbang hujah Mohamed Aziz.

“Kenapa pula MP BN mahu keluar kerajaan dan masuk pakatan pembangkang? Kalau hal ini terjadi, pasti ada udang di sebalik batu, batu di sebalik udang,” kata Mohamed Aziz.

Kedua-dua ahli panel itu teragak-agak pada mulanya untuk menyatakan pendirian sama ada undang-undang yang membendung gejala lompat parti cetusan idea Zaid Ibrahim itu wajar diteruskan atau tidak pada mulanya. Aziz, seingat Burhan masih kerap menyebut hal MP BN tidak setia jika ada yang ghairah lompat parti. Aziz juga selalu menyebut bidalan, ‘tempua bersarang rendah’.

Saat diasak dengan pertanyaan provokatif oleh perantara Hujah, Prof Agus, Mohamed Aziz berkata lagi, “Kenapa mereka (BN) nak keluar daripada kerajaan dan masuk dalam pakatan pembangkang.” Malahan, beliau tidak lupa menyifatkan tindakan atau gejala melompat parti itu sebagai langkah kurang bijak.

“Sebab itulah saya katakan tadi, mereka tidak setia kepada parti. Mesti ada sebab, kenapa burung tempua bersarang rendah.”

Aziz! Ketepikan dahulu soal burung tempua!

Mungkin kerana berang dengan pepatah dan bidalan yang terlalu kerap dimajukan Aziz, lalu dipintas oleh perantara, “Sekarang ini kita ketepikan dulu soal burung tempua yang bersarang rendah dato’.” Burhan tertawa memanjang mendengar kata-kata perantara. Jika dia sendiri berada di tempat perantara, hal itulah juga yang ingin diperkatakannya.

“Kita mahu tanya sama ada wajar atau tidak undang-undang membendung gejala melompat parti diteruskan?” Soalan itu nampaknya terbuai-buai akhirnya larut oleh hujah yang lain pula.

Barangkali Mohamed Aziz terlupa sesuatu. Ahli Parlimen BN melompat parti agar wujud suatu kerajaan baru di bawah pimpinan Barisan Rakyat pula. Pada ketika itu tidak timbul lagi kedudukan BN sebagai kerajaan, malah BN telah menjadi pembangkang.

Aziz berkata demikian mungkin kerana dalam ruang mindanya masih basah, segar, juga tepu dengan ‘hakikat’ (kononnya) hanya BN yang akan memerintah hingga kiamat. Jadi, mungkin sebab itulah dalam racauan dan igauan itu ahli tegar Umno ini berasa hairan kenapa MP BN sanggup keluar kerajaan Umno dan masuk pakatan pembangkang. Dia lupa, bahawa lompatan kali ini (jika ia benar-benar berlaku) bakal mewujudkan kerajaan yang baru, bukan Umno-BN lagi. Dan, pada tahap ini, MP BN yang beriman itu bagaikan ahli-ahli sihir yang telah ditewaskan Musa a.s dengan mukjizat tongkatnya, lalu mereka itu akan kembali beriman kepada Allah; Tuhan Musa dan Harun. MP BN dalam kelompok ini bagaikan ahli-ahli sihir Fir’aun yang kerap bermuhasabah. Apakah ketaatan kita mahu diberi kepada Abdullah atau Tuhan kepada Abdullah, iaitu Allah sebagai al-Haq; sumber daripada segala kebenaran yang tercipta?

Mantan Perdana Menteri juga telah berwasiat kepada rakyat agar mengundi wakil yang difikirkan layak saja dan jangan memandang kepada wakil parti. Tidak sedikit orang yang memegang kepada tali ‘fatwa’ Mahathir. Ada juga yang mengundi tidak melihat kepada parti, tetapi wakilnya. Sebahagian Umno lain mengundi parti lawan sebagai pengajaran.

Jadi, fatwa Abdullah bahawa rakyat memilih wakil BN kerana mahukan BN memerintah itu agak longgar dan mungkin dapat dikatakan sebagai terbatal. Jangan-jangan ramai juga yang mengundi wakil (orangnya) dan bukan partinya.

Walhal, PM Abdullah menyangka rakyat masih sayangkannya seperti rakyat sayangkan BN. Najib juga sependapat dengan Abdullah dalam hal ini. Sebab itulah, dalam banyak hal Najib hanya mahu ‘playsafe’ dan enggan menunjukkan lagak ngeri menentang PM.

Bagaimanapun, pada akhir kesimpulan Hujah itu, akhirnya kedua-dua ahli panel itu telah berani menyatakan dengan jelas bahawa perundangan atau akta guna membendung gejala melompat parti itu tidak diperlukan langsung.

“Kalau kita mahu wujudkan akta yang melarang MP pembangkang melompat kepada BN dan sekali gus melarang MP BN melompat kepada parti pembangkang, saya kira hal itu tak diperlukan,” demikian menurut Dr Ahmad Atory Hussein.

Nampaknya, keputusan di pihak ahli politik dan ahli akademik telah tercapai. Kedua mereka telah bersama menolak kewajaran akta, perundangan seperti itu daripada terus dimajukan dalam Parlimen.

Ahli politik dengan hujah politiknya yang tersendiri serta ahli akademik yang akan cenderung memihak kepada pemerintah yang korup telah sama-sama bangkit menyatakan suatu pendirian yang entah mereka dapat pertahankan atau tidak di luar acara Hujah itu.

Burhan termenung panjang. Dia hanya ingin bertanya jika dia dapat memajukan soalan kepada kedua-dua politikus dan ahli akademik tadi.

Kalau Zaid Ibrahim ternyata berkeras juga mahu melobi atau memukat pendapat ahli BN ke arah mewujudkan undang-undang lompat parti, adakah ahli akademik di universiti itu akan berjuang bermati-matian dalam melawan akta tersebut?

Kedua, adakah Ahli Parlimen Sri Gading dan rakan seperjuangan beliau, Ahli Parlimen Kinabatangan akan turut berjihad, rela syahid bermandi darah dalam Parlimen untuk melawan akta baru ini?

Jika kedua-dua gandingan mantap ini (Sri Gading dan Kinabatangan) tidak melawan akta ini kemudian hari, ternyatalah, bukan sahaja ada udang di sebalik batu.

Malah, tentu ada sebabnya kenapa Sri Gading tidak melawan dalam Parlimen agar akta bendung gejala lompat parti tak terlaksana. Mesti ada sebabnya. Bak kata Sri Gading juga, kalau tidak, masakan burung tempua akan bersarang rendah. Mesti ada sebabnya!

Dan, seperti biasa. Rakyat kita cuma mahu bertanya, apakah sebabnya burung tempua bersarang rendah. Adakah kerana sang tempua sudah takut kepada rajawali yang sedang terbang tinggi dengan bebasnya di angkasa? Demikian pertanyaan Burhan Fansuri.

23 April, 2008, 11:41 malam
Sekolah Pemikiran Pendang

***********************************************************************************************
“JOM! Kita Pakat-pakat Sokong PAS!!!”

berapa ramaikah yang berani menyatakan sokongan mereka terhadap PAS?

untuk lebih lanjut, klik di sini.
***********************************************************************************************

klik di sini untuk paparan video dan diskusi: “PAS FOR ALL ||| PAS Untuk Semua

berSUMBANGlah untuk kelangsungan laman blog ini. TERIMA KASIH.🙂


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s