“DOA MUNAJAT RAKYAT Bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat”

16 02 2008

assalamua’laikum dan salam sejahtera.

doa pohon keselamatan dan kemenangan Islam.

(hendaklah selalu membacanya dan sebaik-baiknya membaca selepas solat 5 waktu).

pengertian doa.

wahai Tuhan kami berilah kepada kami perasaan takut kepada Mu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan, dan berilah kami kesihatan kepada Mu yang menyampaikan kami ke syurga Mu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.

wahai Tuhan kami berilah kenikmatan pendengaran. penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami.

dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak takut menaruh kasihan belas terhadap kami dapat menguasai ke atas kami wahai Tuhan kami, kami memohon pertolongan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebesaran dan keagungan sifat jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.

wahai Tuhan kami Engkaulah penolong kami maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. wahai Tuhan kami Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. wahai Tuhan yang baginya lemah dan hina segala tengkuk pembesar dunia.

dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja firaun, selamatkan kami dari segala penghinaan dan hukuman seksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarilah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berikanlah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang maha pemurah.

wahai Tuhai samada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud. dan Kamu menundukkan mereka seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kamu lipat balikkan rancangan jahat mereka supaya mereka berpatah balik ke atas mereka sendiri, dan Kamu hancurkan pendirian mereka dan turunkanlah ya Allah bendera mereka rapat ke bumi.

wahai Tuhan kami yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya. wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan. sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. ya Allah butakanlah mata-mata mereka (musuh-musuh Islam) sehingga mereka tidak melihat kecuali cahaya bulan purnama.

***********************************************************************************************
petikan doa diambil pada lampiran ketika acara munajat rakyat bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat; 3.00 pagi, februari 16, 2008; perkarangan stadium muhammad ke-IV.
**********************************************************************************************

***********************************************************************************************
“hmmm… agak-agaknya BA-PAS menang ke pilihan raya kali ni…”

A. menang besar.
B. kalah!!!

*** sila klik pos bertajuk “SERVEY Pilihanraya Ke-12″
untuk lebih lanjut. ***
***********************************************************************************************





“DO’A Angin Ahmar – Antara Ikhtiar Dan Tawakkal”

16 01 2008

… ASSALAMUA’LAIKUM dan SALAM SEJAHTERA …

Angin ahmar atau lebih dikenali sebagai ‘strok’ merupakan penyakit pembunuh nombor tiga di dunia selepas kanser dan jantung. Setiap orang sama ada yang sudah berumur atau yang masih muda berisiko mendapat penyakit ini terutama bagi mereka yang gemar mengambil makanan berlemak dan narkotik.

Dalam ilmu perubatan moden, angin ahmar dikatakan terjadi apabila pembunuh darah di dalam otak dihalang atau disumbat sama ada separuh atau sepenuhnya oleh darah beku yang terbentuk pada mendapan lemak di dalam dinding pembuluh darah yang mengehadkan dan seterusnya memutuskan peredaran darah ke bahagian otak. Terputusnya pengaliran darah ke bahagian otak mengakibatkan kehilangan fungsi bahagian tubuh yang diatur oleh bahagian otak yang terkena angin ahmar. Biasanya pesakit angin ahmar sukar dipulihkan. Sekalipun terdapat rawatan sokongan dan ubat tertentu, namun ia hanyalah untuk mengelakkan kerosakan otak yang lebih meluas dan teruk.

DO’A ANGIN AHMAR – Antara Ikhtiar dan Tawakkal menjelaskan asal kewujudan angin ahmar sebagai makhluk ALLAH S.W.T. yang dijelmakan sebagai satu lembaga besar berapi dan merah (ahmar) menyala. Rupanya sangat dahsyat dan menakutkan. Pergerakannya pantas seperti angin. Ia akan memasuki tubuh manusia, meresap ke seluruh sendi dan urat saraf lalu membinasakan anggota badannya mengikut kehendak ALLAH S.W.T. yang menciptakan sesuatu penyakit dan Dia jugalah yang menyembuhkannya. Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH tidak menurunkan sesuatu penyakit kecuali Dia telah menurunkan ubatnya juga, maka berubatlah kamu.”

Oleh yang demikian, milikilah segera buku ini sebagai dan panduan dalam usaha mencegah dan merawat angin ahmar. Mudah-mudahan ia dimanfa’at sebaiknya.

SEJARAH ANGIN AHMAR
******************

Nabi Sulaiman a.s. dan Angin Ahmar
***************************

Telah diberitakan, pada suatu hari Nabi Sulaiman a.s. sedang duduk di atas takhta kerajaannya dihadap oleh jin-jin dan manusia serta binatang-binatang. Ketika itu, Baginda sedang membicarakan dan menghukum sebahagian daripada mereka. Lalu, terlintas perasaan ‘ujub (yakni rasa besar diri) dan Baginda pun berkata di dalam hatinya, “Adakah sesuatu makhluk yang telah dijadikan oleh ALLAH S.W.T. yang tidak ditundukkan kepadaku?”

Tiba-tiba seketika itu juga datanglah suatu makhluk (yang berupa manusia) yang besar panjang badannya lagi hebat dan dahsyat rupanya dengan keluar api bernyala-nyala daripadanya. Maka terkejutlah Nabi Sulaiman a.s. melihat akan makhluk itu dan menggeletar. Kemudian Baginda pun bertanya, “Wahai engkau yang besar berbangsa api, siapakah engkau dan mengapakah engkau datang ke mari?”

Jawabnya, “Aku bernama al-rih al-ahmar iaitu satu penyakit yang amat dahsyat di antara penyakit-penyakit. ALLAH S.W.T. menjadikan aku sebegini rupa dan diberi-Nya aku kuasa mendatangkan kesakitan kepada cucu Nabi Adam a.s. dan Hawa’. Aku dapat meresap dan berjalan di dalam tubuh manusia sebagaimana darah dapat mengalir di dalamnya sehingga aku dapat meesap ke sendi-sendi dan urat-uratnya. Apabila ALLAH S.W.T. berkehendak memberi azab kepada sesiapa di antara makhluk ataupun memberi kuasa kepada aku, aku masuk ke dalam tubuhnya. Jika aku masuk ke dalam otaknya, maka hilanglah akalnya, dan jika aku masuk menerusi hidungnya, nescaya zahirlah aku berupa penyakit bengkak-bengkak dan sembab-sembab seterusnya hingga aku binasakan seluruh anggota badannya.”

Tatkala Nabi Sulaiman a.s. mendengar akan perkataan lembaga itu, Baginda pun menitahkan orang yang di sekelilingnya supaya membunuh dan membakarnya.

Al-rih al-ajmar pun berkata, “Tidak! Sekali-kali tidak ada sesiapa pun yang ada kuasa untuk melakukan yang sedemikian itu, kerana ALLAH S.W.T. telah menjadikan aku dan melanjutkan umurku.”

Kemudian ia pun ghaiblah dari pandangan Nabi Sulaiman a.s. sehingga ke zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Manakala Nabi Sulaiman a.s. insaf akan kesan perasaan ‘ujubnya, lalu beristighfar dan bertaubat, walaupun tiada siapa yang tahu akan perasaannya itu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Angin Ahmar
*******************************

Telah diceritakan bahawa Hasan bin ‘Ali, cucunda Nabi Muhammad S.A.W. telah menghidap penyakit rongga tekak dan keluar darah daripadanya, lalu Nabi Muhammad S.A.W. dan sahabat-sahabatnya telah mendapat tahu khabar itu. Tiba-tiba turunlah Jibril a.s. lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Hasan telah terkena angin.”

Sabda Nabi Muhammad S.A.W., “Wahai saudaraku Jibril, adakah ubat baginya?” Dijawab oleh Jibril, “Bahkan ada.”

Sejurus kemudian Jibril pun ghaib, lalu kembali semula kepada Rasulullah S.A.W. dan berkata, “Bahawasanya ALLAH S.W.T. mengurniakan kepada engkau suatu hadiah yang mustajab, sesiapa membacanya walaupun sekali seumur hidupnya nescaya dia akan terselamat daripada al-rih dan al’ahmar.”

Maka Nabi Muhammad S.A.W. pun membacakan do’a ini pada Hasan r.a. Seketika itu juga dia sembuh, lalu bangun dan berdiri dengan cukup sihat.

Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya yang bermaksud, “Pelajarilah olehmu akan do’a ini dan ajarkan kepada umatku supaya do’a ini memberi manfaat kepada mereka serta memelihara mereka daripada ditimpa bala ini (penyakit angin ahmar). Dan jika seseorang sedang kena angin ini, maka hendaklah ditulis do’a ini di atas suatu (bijaksana/bekas) yang suci kemudian dibasuh dengan air nescaya sembuhlah dia dengan amat cepat.”

*** dapatkan buku ini untuk ketahui lebih tentang:
CARA BERUBAT DENGAN DO’A ANGIN AHMAR
DO’A ANGIN AHMAR
Lafaz Do’a
Erti Do’a
Ringkasan Erti Do’a

**********************************************************************************************
dapatkan buku yang amat berguna ini. dengan hanya RM3. dapatkannya melalui, Awan Metro (M) Sdn. Bhd., No. 3A, Jalan 1/5, Seksyen 1, Bandar Teknologi Kajang, 43500 Semenyih, Selangor Darul Ehsan. ini adalah karya asal, adaptasi dan kemaskini oleh Hj. Abdul Rahman Rukaini, Mantan Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka.
**********************************************************************************************





“Bermulanya DETIK BARU”

10 01 2008

… ASSALAMUA’LAIKUM dan SALAM SEJAHTERA …

*******************************************************************************************
DOA AKHIR TAHUN

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya ALLAH, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaKu. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya ALLAH, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam… Aminnn…

PS: waktu membacanya… doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan ALLAH akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini ALLAH akan mengampunkan dosanya setahun’.
*******************************************************************************************

*******************************************************************************************
DOA AWAL TAHUN

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya ALLAH, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini ak memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam… Amin…

PS: waktu membacanya… doa ini dibaca 3 kali setelah masuk waktu Maghrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana ALLAH telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan’.
*******************************************************************************************








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.