“MASJID: Kenyataan Najib Ditertawa Rakyat Kelantan”

26 01 2008

… ASSALAMUA’LAIKUM dan SALAM SEJAHERA…

Berita Kelantan

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Sudah jelas lagi bersuluh, kerana ketiadaan isu lain yang mampu diketengahkan semasa melawat Kelantan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri mendakwa sepanjang PAS memerintah hanya satu masjid dibina.

Benarkah apa yang didakwa Dato’ Seri Najib Razak, atau beliau tidak mengetahui maklumat sebenar yang berlaku di Kelantan.

Tanpa semena-mena Timbalan Presiden UMNO itu cuba memperlihatkan kepada rakyat Kelantan, ‘miskinnya maklumat’ seorang pemimpin negara, apabila membuat lawak yang kurang menjadi.

Tanpa mengambil kira hasrat sebenar Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu lebih menumpukan program mengimarahkan masjid berbanding membina masjid.

Namun pembinaan rumah ibadat itu tetap turut diberi perhatian kerajaan negeri.

Setiap masjid yang dibina tidak pernah dilabelkan seperti UMNO apabila melekatkan papan kenyataan “Projek Kerajaan Barisan Nasional” pada setiap projek yang dijalankan.

Dan lebih menarik, Masjid Negeri di Kubang Kerian berjaya disiapkan kerajaan PAS selepas terbengkalai sekian lama. Selain itu antara masjid lain yang dibina termasuk di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan Masjid Baraah di Pasar Besar Siti Khatijah.

Masjid Kota Darulnaim, Masjid Al Fathul Mubin, Kampung Tok Sadang di Pengkalan Chepa, Masjid Badang dan Masjid Wakaf Che Yeh. Manakala masjid yang sedang dalam pembinaan sekarang termasuk Masjid Jubli Perak di Pulai Chondong dan Masjid Jubli Perak di Rantau Panjang.

Paling menarik Masjid Jubli Perak di Rantau Panjang yang menggunakan senibina China dibina di kawasan seluas 3.7 ekar tidak jauh dari Pekan Rantau Panjang.

Masjid dua tingkat itu bakal dilengkapi dewan, dewan makan, perpustakaan, klinik, pejabat, bilik VIP, bangunan tadika, kelas fardhu ain dan bazar.

Kos pembinaannya kira-kira RM7 juta. Dan sehingga kini lebih 80 peratus siap. Pembinaannya melepasi jadual disebabkan pihak kontraktor terpaksa mendapatkan bekalan atap dari negara China.

Berdasarkan fakta tersebut adalah jelas, andaian Timbalan Perdana Menteri tersasar jauh, dan kenyataannya semasa merasmi pecah tanah Masjid An Nur di Kuala Krai menjadi bahan ketawa rakyat Kelantan.

Bagi Menteri Besar tidak timbul soal siapa menjadi juara yang banyak membina masjid, namun lebih penting bagaimana usaha mengimarahkannya.

“Sebenarnya kerajaan negeri lebih mementingkan pengimarahan masjid dan menghidupkan roh solat serta aktiviti keilmuan. Bukan sekadar membina masjid besar dan membiarkannya lengang,” katanya di sini.

Selain peruntukan bagi membina masjid dan membaiki masjid serta madrasah, kerajaan Kelantan juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi melaksanakan program ‘Bulan Sembahyang’.

Program itu juga pernah diperlekehkan ADUN BN dengan menganggap membazirkan wang kerajaan. Sebaliknyan sekarang Perdana Menteri sendiri menekankan aspek modal insan.

“Di negeri ini masjid dibina di atas keperluan setempat. Setakat ini kerajaan negeri tidak menerima rungutan daripada orang ramai mengenai kekurangan masjid malahan sudah berlebihan.

“Lagipun masjid dibina mengikut cadangan dari Unit Perancang Bandar dan Desa,” katanya.

Mengenai program mengimarahkan masjid, kerajaan negeri jelasnya melantik seramai 2,000 pegawai dan kakitangan di Unit Dakwah Halaqat bagi menghidupkan masjid dengan pelbagai program.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menghidupkan institusi masjid yang sebenarnya lebih penting daripada berbangga dengan jumlah masjid yang dibina.

“Masalahnya di Malaysia, masjid banyak tetapi cara menghidupkan masjid kurang diberi perhatian kerajaan. Apa guna masjid banyak kalau kadar jenayah dan masalah sosial semakin meningkat,” katanya.

Selain itu juga kerajaan negeri tidak ketinggalan memberi bantuan modal di samping derma orang ramai bagi membesarkan masjid mukim.

Malah pada peringkat awal, kerajaan negeri menekankan konsep taawun dalam membina masjid bagi memastikan setiap penduduk turut merasakan masjid yang dibina juga menjadi hak mereka.

Sebaliknya di luar Kelantan masjid dibina begitu cantik, namun setiap kali solat jemaahnya hanya beberapa kerat yang hadir.

Dan lebih mendukacitakan lagi masjid di Selangor dikunci selepas waktu solat. Lebih mengaibkan lagi kuliah agama langsung tidak dibenarkan.

“Inilah perkara utama yang patut diberi perhatian Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan rakyat benar-benar hidup dalam beragama,” kata bekas pegawai tadbir dan diplomatik, Annual Bakri Harun yang juga Setiausaha Politik MB Kelantan.

*********************************************************************************************
petikan diambil daripada akbar Harakah, 7-22 Muharam 1429 / 16-31 Januari 2008, Fikrah, Negeri, 22.
*********************************************************************************************


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.